Dr Mahathir letak jawatan Perdana Menteri, Anwar ada luah sesuatu

SHAH ALAM – Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dilaporkan baru menyerahkan surat peletakan jawatan kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sebentar tadi.

Peletakan jawatan ini dipercayai berkaitan dengan pergolakan politik yang berlaku dalam Pakatan Harapan (PH) sejak mesyuarat Majlis Presiden Jumaat lalu.

Sinar Harian difahamkan juga Jabatan Perdana Menteri akan mengeluarkan kenyataan dalam masa terdekat.

Anwar puas hati pertemuan dengan Dr Mahathir

Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berpuas hati dengan pertemuan bersama Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, hari ini.

Anwar berkata, menerusi pertemuan itu, beliau bersama Perdana Menteri membincangkan beberapa perkara dan turut bersetuju bagi mengutamakan prinsip untuk meneruskan agenda perubahan.

Beliau berkata, bagaimanapun, pihaknya tidak dapat memberi pendedahan lanjut berhubung pertemuan berkenaan.

“Saya tak boleh sebut apa, memadai kita jelas setakat itu, mesyuarat yang sangat baik,” katanya kepada pemberita selepas tiba di Ibu Pejabat PKR di Merchant Square bagi mengikuti Mesyuarat MPP, sebentar tadi.

Selain itu, Anwar turut menggesa semua pihak agar tidak mudah tunduk kepada kumpulan yang ingin mengkhianati amanah rakyat dalam Pilihanraya Umum 14 (PRU14) lalu.

“Kita jangan mudah tunduk kepada gerombolan yang mahu mengkhianati amanah rakyat dalam PRU14 yang lalu,” katanya.

Semalam, satu mesyuarat berlangsung serentak melibatkan parti politik lain termasuk UMNO, Bersatu, Pas dan Ahli Parlimen Gabungan Parti Sarawak (GPS) menguatkan lagi spekulasi penubuhan Pakatan Nasional.

Sumber: Sinar Harian

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*