Selepas Seminggu Kejadian Tumbok Pak Guard, Lan Pet Pet Akhirnya Buka Mulut Dedah Punca Dia Bertindak Begitu

Seremban: “ Saya mengaku saya bersalah dan memohon maaf dengan apa yang berlaku,” kata pelawak Mazlan Ahmad, 50, atau Lan Pet Pet sebaik didenda RM2,000 di Mahkamah Majistret, semalam, selepas didapati bersalah memukul seorang pengawal keselamatan di Acacia Park Desa Jati, Nilai pada 6 April lalu.

Mazlan berkata, dia menerima hukuman itu dengan hati terbuka dan akan membayar denda seperti diarahkan.

“ Saya merancang untuk bertemu pak cik itu (pengawal keselamatan) untuk menziarahinya. Pada pertemuan secara tertutup, saya akan mengakui kesilapan diri dan meminta maaf di hadapannya,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Harap Pak Ya maafkan

Menurutnya, dia berharap pengawal terbabit, Yahya Manap, 70, akan memaafkannya, tambahan pula dia sudah dihukum oleh mahkamah.

“ Saya tak tahu kenapa saya perlu bersikap sedemikian pada malam kejadian (6 April lalu). Selama ini saya sangat menghormati orang tua,” katanya.

Mazlan berkata, kejadian itu menginsafkannya, tambahan pula pertama kali didakwa di mahkamah dan dia tidak membuat rayuan ketika dikenakan denda.

Hilang pertimbangan kerana ditekan dan provokasi

“ Saya mungkin hilang pertimbangan pada malam itu kerana ditekan dan provokasi,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Nilai Superintendan Mohd Nor Marzukee Besar berkata, pelawak berasal dari Kedah terbabit mengaku bersalah sebaik kertas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Mayon Yusof.

Katanya, pada prosiding kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mas Syafiqh Mahroob, mahkamah menjatuhi denda RM2,000 dan jika gagal bayar, Mazlan boleh dipenjara lapan bulan.

Menurutnya, pelawak itu dituduh mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan.

Portal berita Harian Metro pada 7 April lalu melaporkan pengawal keselamatan terbabit cedera akibat ditumbuk dan ditendang oleh seorang pelawak di perkarangan pondok pengawal penempatan itu.

Pakya boleh maafkan tapi tetap mahu saman

Pengawal keselamatan Yahya Manap, 70, yang dibelasah Mazlan Ahmad, 50, atau Lan Pet Pet pada 6 April lalu sedia memaafkan selebriti itu jika benar pelawak terbabit ikhlas.

Biarpun begitu, katanya, rancangannya menyaman Mazlan akan diteruskan dan ia dalam tindakan peguam.

“ Secara hukum, saya sedia memaafkan Mazlan, tetapi hal membabitkan saman tetap diteruskan.

“ Maruah saya sudah tercemar, rasa terhina, trauma dan malu kepada orang ramai,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Menurutnya, saman itu akan dikemukakan peguamnya dalam tempoh terdekat.

Ditanya mengenai keputusan mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM2,000 terhadap Mazlan, semalam, Yahya menyifatkan ia terlalu rendah.

“ Memang rendah, tetapi itu keputusan mahkamah. Kalau ikutkan hati memang tidak puas hati, tetapi tidak mengapa, mahkamah yang memutuskan,” katanya .

Apa Kata Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih. Ariana Rose

Sumber : hmetro

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*